Sabtu, 16 Mei 2009

Perutusan Hari Guru Dari Jalan Bukit Akim

Teristimewa buat rakan-rakan blogger di mana saja mereka berada sekadar menyebut beberapa nama Jawa,Yusma,LanGhazi,Tintahati yang semestinya antara guru yang dikenali.
Tidak lupa yang singgah di pondok ini. Untuk mereka dihadiahkan lagu di pondok kecil ini ....he.he.he..


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Pertamanya di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ buat semua guru walau di mana mereka berada. Termasuklah kepada bekas anak didik saya yang kini telahpun sama-sama bergelar guru. Sungguh pantas masa berlalu. Sehinggakan kadang-kadang tidak terasa telah lama sebenarnya aku seorang cikgu.

Selamat hari guru, khususnya kepada guru-guru yang mengajar , semua guru yang telah berjaya mendidik saya sehingga menjadi diri saya hari ini sama ada secara langsung di sekolah-sekolah, atau secara tidak langsung walau di mana sahaja saya dapat ilmu, kepada isteri ,kedua arwah ibubapa, anak-anak,adik-adik , rakan-rakan seperjuangan sebagai guru, kepada anak-anak didik yang dahpun bergelar guru, seterusnya kepada semua guru sekalian, selamat hari guru!

Keduanya di kesempatan ini, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mana-mana anak didik yang ingat jasa guru mereka. Khususnya kepada mereka yang pernah mendapat sentuhan sedikit ilmu daripada diri ini. Mungkin dengan cara tidak sengaja maka takdir telah menentukan kalian menjadi anak murid dan saya menjadi cikgu. Namun tempoh masa yang amat terhad itu telah menjadi kenangan manis kepada kalian lalu menjadikan kalian ingat akan jasa-jasa yang amat sedikit itu. Terima kasih kerana menghargai jasa guru-guru. Termasuklah sumbangan saya yang seciput itu.

Tiada guru yang meminta diri mereka dihormati dengan tanggungjawab yang telah ditunaikan. Pada mereka cukuplah melihat anak-anak yang pernah mereka didik berjaya dalam hidup masing-masing. Paling bahagia kalau anak-anak itu lebih berjaya daripada diri mereka sendiri. Namun, ingatan anak didik tidak dinafikan mengembalikan sedikit kenangan yang dianggap manis dalam kehidupan seorang guru. ‘Ada juga dalam kalangan pelajarku yang dulunya itu ini, begitu begini, tapi hari ini mereka berjaya dan ingat bahawa mereka juga pernah bersamaku’

Banyak sungguh pahala seorang guru. Kerana didikannya, aku mengenal tulis baca. Mengajarku mengaji, berdiri, rukuk dan sujud untuk menyembah ilahi seterusnya membentuk jatidiri. Mengajarku membezakan di antara yang hak dan yang batil. Dan banyak lagi ilmu yang diberi, sehingga tak ada ruang yang cukup untuk disenarai setiap satu daripadanya. Kemudian ilmu-ilmu itu aku warisi pula kepada generasi demi generasi. Mereka pula seterusnya mengenal tulis baca, Banyak sungguh pahalamu guru! Berbanggalah dan berbahagialah hidupmu sebagai seorang guru!

Tahniah guru-guruku, kerana mendidikku untuk mendidik anak-anakmu, hatta generasi yang lahir selepas beratus-ratus tahun aku kehilanganmu, dan aku kehilangan diriku. Tapi ilmu terus diwarisi dan pahala terus diberi kepadamu, insan yang bergelar guru. Selamatlah guru, di dunia dan di akhirat.

Semua kita sebenarnya adalah guru, jadilah guru yang baik dalam mendidik.. warisilah anak-anak yang cerdik, masyarakat yang celik seterusnya ummah yang terbaik!

Wallahu aklam, Selamat Hari Guru, wassalam.


0 comments:

Blog Widget by LinkWithin