Khamis, 14 Mei 2009

Pra Selamat Hari Guru 2009 - Satu Kenangan


Selamat Hari Guru

Keputusan peperiksaan SPM aku tidaklah baik. Malah aku segan jika dibandingkan dengan keputusan pelajar-pelajar hari ini. Yang cuma boleh dibanggakan mata pelajaran Matematik.

“Engkau memang la senang. Budak kelas sains. Dah la amik Add Maths. Matematik biasa nie kacang jer” ulas Zam, budak kelas Sastera ketika kami membincangkan tahap soalan matematik sejurus selepas keluar dari dewan peperiksaan. Ada benarnya kata-kata Zam. Kami budak kelas Sains tidak harus menjadikan matematik sebagai kayu ukur betapa arifnya kami dalam ilmu kira-kira nie. Add Maths sebenarnya ujian besar buat kami.

Dari celah rakan-rakan yang berpusu-pusu keluar dewan, aku nampak dia. Resah di wajahnya menunggu kami di luar dewan. Aku senyum dan mengangguk padanya. Tanda keyakinan jua terima kasih. Pada dia, cikgu Matematik aku, Puan Gan.

Kamu tahu kan, kebanyakan pelajar-pelajar akan mula hilang pertimbangan di Tingkatan Empat. Tika kamu baru ingin menikmati kegembiraan hidup selepas kejayaan cemerlang dalam SRP/ PMR. Ketika itulah kamu mula merasakan gelodak jiwa remaja yang meminta kamu melanggar segala peraturan dan arahan. Mula ponteng kelas, ponteng sekolah, berjinak-jinak dengan rokok, keluar malam aka fly.. juga sudah berani memanggil junior mengadap di tengah-tengah malam.

Dalam tempoh masa yang kamu gelarkan honeymoon itu, kamu lupakan seketika pelajaran. Kamu kejar kegembiraan dengan mencabar undang-undang. Ada yang terus biarkan kamu hanyut dalam dunia khayalan itu.

Melangkah ke Tingkatan 5, ada sedikit kesedaran. Itupun timbul setelah kamu lihat rakan-rakan lain yang sudah jauh kehadapan. Sedangkan kamu seperi hari ini baru pertama kali masuk kelas. Segalanya asing. SPM sememangnya menakutkan. Ia digambarkan seolah-olah satu satunya peluang. Untuk kamu buktikan keupayaan dan tunjukkan jalan di masa depan.

Dalam aku kesamaran dan hampir hilang segala keyakinan, Cikgu Gan hadir membantu. Walaupun berbangsa Cina, aku tak rasa sedikit pun kurangnya kasih sayang terhadap kami, pelajar-pelajar Melayu ini. Tidak sedikitpun disorok segala ilmu pengetahuan dan rahsia matematik dari kami. Malah, Cikgu Gan tidak jemu-jemu menaikkan semangat dan minat kami dalam matapelajaran matematik.

Cikgu Gan berkongsi pendekatan pelajar-pelajar Cina memahami dan menguasai Matematik dengan pantas dan mudah. Hasilnya, SPM 1985, kelas kami semuanya dapat credit dalam matematik.

Sehingga hari ini, jika ditanya cikgu-cikgu yang diingati selalu, namanya tak pernah tertinggal dari senarai yang aku sebutkan. Dan selalu jugalah, aku bercerita pada isteri tersayang, Awek Che’gu agar menjadikan semangat Cik Gan sebagai panduan. Aku minta dia mengajar dengan penuih kasih sayang. Jangan sesekali ditinggalkan pelajar yang dilihat lemah dan tidak menunjukkan sebarang keupayaan. Jangan hanya dijulang pelajar-pelajar yang sedia bijak dan rajin.

SELAMAT HARI GURU. JASA CIKGU-CIKGU AKAN KU KENANG DAN JADIKAN AZAM UNTUK MEMBANTU YANG LAIN PULA.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin